Sila Klik Gambar Bawah untuk ke Blog Baru Saya

Thursday, April 23, 2009

Iri Hatiku Melihat Kecekalanmu

Sumber: http://episodeperjuangan.blogspot.com/2009/04/kenangan-juang-bersama-ayah-chik.html
Kenangan Juang Bersama Ayah Chik

Assalamualaikum , salam perjuangan terlebih dahulu saya hulurkan buat Ayah Chik semoga senantiasa dikurniakan taufiq dan hidayah , jua ketabahan jiwa yang tinggi dan mantap dalam memimpin sebuah bahtera perjuangan yang besar meredah samudera luas dan buas .

Saya memohon maaf berbanyak maaf jika kenangan on line ini mengganggu penumpuan Ayah Chik dalam mengemudi bahtera saat laut kian bergelora dan gelombang kian mengganas .

Saya yakin , melalui susur galur pentarbiyyahan yang pernah dilalui oleh Ayah Chik pula berbekalkan pengalaman yang luas sebagai seorang pejuang yang tidak pernah penat dan lelah mengharungi cabaran , rintangan dan halangan di sepanjang jalan , Ayah Chik cekal menghadapi apa jua situasi sukar .

Biarpun kini wajah dan jasad Ayah Chik semakin dimamah usia namun jiwa kental dan hati waja seorang pejuang yang diamanahkan oleh ummah untuk menjulang panji syariah masih terserlah . Pastinya semangat Ayah Chik tidak akan luntur apalagi mundur hanya kerana kedengaran dentuman petir dan kilat di langit , kerana sebelum ini sudah biasa basah dihujan dan goyang diribut .

Saya telah mengikuti dari dekat perjuangan Islam yang digerakkan oleh Ayah Chik sejak tahun 1984 , sedang tika itu saya hanyalah seorang murid bertatih baca alif , ba , ta di tingkatan 2 sekolah menengah kebangsaan . Setiap hujung minggu saya akan ke pekan sehari untuk membeli kaset ceramah Ayah Chik dan Ayah Ziq [ Tok Guru Nik Aziz ] yang diterbitkan oleh Pustaka Jihad [ kalau tidak silap saya ] .

Amanat Hj. Hadi

Tidak perlulah saya meriwayatkan kisah yang sedia diketahui umum . Cuma apa yang saya mahu kenangkan kembali ialah bagaimana Ayah Chik telah membawa satu gelombang kebangkitan Islam dengan meletakkan PAS sebagai sebuah Gerakan Islam yang benar - benar menepati piawaian sebuah gerakan Islam yang tulen .

Bergandingan dengan Al Marhum Tuan Guru Hj Yusuf Ar Rawa , Al Marhum Tuan Guru Hj. Fadhil Noor dan Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz Nik Mat , Ayah Chik mara memobilisasi kesedaran rakyat yang bermula dengan pemantapan aqidah perjuangan mereka .

Amanat Hj Hadi menjadi popular malah seluruh markaz PAS ketika itu akan menyimpan amanat tersebut di dalam frame tergantung di dinding . Bermula dari mak cik dan pak cik di kampung dan desa hinggalah kepada ikhwah dan akhawat mahasiswa university mula menyahut seruan jihad ke arah mendaulatkan Islam di atas tanahair tercinta .

Nabi Hadi dan Nabi Fadhil

Ayah Chik gigih ke serata negeri memenuhi undangan membelah kubu kuat UMNO yang berserakan di seluruh negara . Membangkitkan kesedaran , menyemarak semangat juang , membekalkan ilmu , menambah ahli serta cawangan dan menggerakkan jentera parti di semua peringkat agar aktif mendepani cabaran faham sekular yang dibawa oleh UMNO dan BN .

Melihat sambutan luar biasa rakyat dari seluruh negara terhadap dakwah Ayah Chik bersama PAS , akhirnya Ayah Chik dan Al Marhum Tuan Guru Fadhil Noor difitnah oleh UMNO dan BN kononnya mereka berdua [ Ayah Chik dan Ust Fadhil Noor ] akan menjadi nabi Melayu menjelang usia 40 tahun . Fitnah ini terpampang di dada - dada akhbar . Ya ... saya masih ingat !

Nyata segalanya tidaklah melemahkan semangat Ayah Chik untuk terus menongkah cabaran . Melalui Kuliah pagi jumaat dan Khutbahnya di Masjid Rusila , Ayah Chik membina fikrah Islami yang syumul dikalangan ahli yang rata - rata belum jelas hala tuju perjuangan mereka . Suara mimbar Rusila terus bergema menguasai ruang udara , membentengi ummah dari wabak sekular yang disebarkan oleh UMNO dan BN .

Masjid Rusila menjadi pangkalan kebangkitan Islam ketika itu . Nama Masjid Rusila terus masyhur ke serata dunia serentang dengan kehebatan al Qum di zaman pemerintahan Khomeini. Malah para pemimpin Gerakan Islam di peringkat antarabangsa lebih mengenali Rusila berbanding Taman Melewar pada waktu itu .

Seangkatan dengan kemasyhuran Masjid Rusila ialah Masjid Pulau Melaka di Kelantan yang di pimpin oleh Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz Nikmat .

Bertolak dari dua masjid inilah , bersama sentuhan 2 Tok Guru [ Ayah Chik dan Ayah Ziq ] , sinar Islam terus memancar menerangi kegelapan ummah . Sehingga kini , hampir tidak kedengaran lagi mereka yang berani mengatakan politik suku agama suku sebagaimana sebelumnya , kalimah ini senantiasa meniti di bibir pemimpin UMNO dan BN .

Ayah Chik juga dinobatkan sebagai ulama' bertaraf antarabangsa . Sebaris Dr Yusuf Al Qaradhawi , Qadhi Hussein , Mehdi Akif , dan lainnya dalam menganggotai majlis Gerakan Islam antarabangsa , Majlis Pembebasan Al Quds dan Majlis Taqrib Mazahib di peringkat antarabangsa .

Tentu sahaja air tangan Al Marhum Mujahid ulung Said Hawa rhm ini benar - benar menjadi , bak mutiara buat ummah sepanjang zaman khasnya bagi ummat Islam di blok Nusantara ini .

Jauh Ayah Chik meniti ranjau , sehinggalah kini Ayah Chik diamanahkan sebagai Presiden PAS . Al Marhum Yusuf Rawa dan Al Marhum Ustaz Fadhil telah lama meninggalkan kita semua . Kini tinggal Ayah Chik bergandingan dengan Ayah Ziq memimpin parti .

Malang cabaran mutaakhir ini ternyata lebih liar dan cukup menguji ketahanan kepimpinan 2 Tok Guru ini . Namun saya doakan agar mereka terus diberikan kekuatan luar biasa bagi menyerap segala tekanan dan terus gemilang memacu perjuangan yang masih jauh destinasinya .

Ayah Chik , usahlah resah dan risau biarpun diluar sana kedengaran suara kritikan keras ke atas gaya dan cara kepimpinan Ayah Chik . Bagi saya , mereka berhak untuk melahirkan rasa tidak puas hati selama mana masih dalam frame akhlak dan adab berbeza pandangan . Segala kritikan boleh diambil secara positif untuk muhasabah dan sempadan dalam gerakkerja kita memimpin perjuangan ini .

Selama Ayah Chik benar dan ikhlas memimpin perjuangan ini , saya sangat yakin pertolongan Allah swt akan senantiasa mengiringi perjuangan dan kepimpinan Ayah Chik sementara anak - anak buah yang dididik sekian lama akan terus mengantar doa restu mereka agar Ayah Chik sabar dan tabah seterusnya dipelihara oleh Allah swt .

No comments:

Post a Comment