Tertidur Waktu Solat Subuh
Soalan:
Saya mendengar ada orang mengatakan kalau kita terlewat bangun waktu Subuh lalu waktu Syuruk telah lepas, kita boleh terus sembahyang Subuh tanpa perlu niat Qadha'. Betulkah Ustaz? Kalau boleh Ustaz tolong jelaskan?
Jawapan:
Jika kita terlewat waktu subuh kerana tertidur, sedangkan waktu syuruk telah lepas ataupun matahari telah terbit, maka ketika terjaga tersebut segeralah mengerjakan solat Subuh. Tidak perlulah kita berniat qadha', sebab terlepas sesuatu hukuman tersebut lantaran bukan sengaja. Namun jika kita mengetahui telah masuknya waktu subuh tetapi kita meneruskan tidur, maka perkara ini jelas berdosa.
Dua Imam Satu Surau
Soalan:
Apakah hukumnya sembahyang dua imam (dua kumpulan makmum) dalam satu surau yang hanya dipisahkan oleh dinding, seandainya sembahyang tersebut ialah sembahyang fardhu yang dilakukan serentak?
Jawapan:
Mengerjakan solat dengan dua imam dalam satu surau dalam masa yang sama hukumnya tidak boleh. Dalam masalah ini kami kemukakan tentang imam tetap dalam satu masjid. Jika satu jamaah hadir disuatu masjid yang mempunyai imam tetap tetapi pada masa itu ia tidak hadir, maka diperintahkan kepada mereka menghantarkan utusan menjemput ia hadir. Tetapi jika bimbang luput waktu solat, maka dibolehkan seorang yang lain tampil menjadi imam. Kata Imam Nawawi, jika dibimbangkan timbul fitnah hendaklah mereka solat bersendirian dan diistihbabkan kepada mereka mengulangi solat bersama imam itu jika ia hadir. Jadi jelaslah jika tidak hadir saja imam tetap disuruh solat sendirian jika khuatir menimbulkan fitnah apakah lagi dengan sengaja membuat jemaah sendiri di belakang atau di sebelah imam yang sedang solat.
Seandainya kita orang yang datang kemudian, sedangkan di dalam surau atau masjid tersebut ada dua imam yang sedang berjemaah, maka dalam hal ini ada beberapa pendapat. Jika makmum dapati dua orang imam masing-masing sedang solat dengan jemaahnya, maka ikutilah imam yang tetap. Namun jika keduanya tidak termasuk imam yang tetap dan masing-masing sebaya dan memiliki ciri-ciri imam yang dikehendaki, cuma perbezaannya yang satu cepat bacaannya sedangkan yang satu lagi lambat. Menurut Al Faurani dalam kitab Al Ibanah "Hendaklah dilihat kepada makmum itu sendiri. Jika ia seorang yang lambat membaca maka hendaklah ia mengikut imam yang lambat membaca. Sebaliknya jika ia cepat membaca maka hendaklah ia mengikuti imam yang cepat membaca".
Imam Al Tarmizi telah menjelaskan dalam Al Sunah iaitu diistihbabkan kepada imam bertasbih enam kali dalam rukuk dan sujud supaya makmum di belakangnya sempat bertasbih tiga kali". Kemudian menurut Imam Syafi'e dalam kitab Al-Umm "Pada hemah saya eloklah setiap masa bagi imam menambahkan tasyahud, tasbih dan bacaan surah sekadar yang dilihatnya boleh memberi kesempatan kepada makmum yang berat lidahnya menyempurnakan bacaannya yang perlu dibaca olehnya."
No comments:
Post a Comment